NEW ZEALAND - Rakyat New Zealand mula mengundi sama ada mahu menukar bendera kebangsaan negara itu dengan bendera baharu yang dipilih pada tahun lalu.
Dikenali Silver Fern (berwarna hitam, putih dan biru) yang dipilih menerusi undi popular menewaskan empat lagi rekaan bendera pada satu referundum yang dilakukan di seluruh negara itu.
Kini rakyat New Zealand akan memilih sama ada mahu mengekalkan bendera sedia ada, dengan ciri-cirinya yang menjurus kepada British dan telah berkibar lebih daripada 100 tahun.
Referendum pos itu akan ditutup pada 24 Mac, dan selepas itu bendera yang menerima paling banyak undi 'akan menjadi bendera rasmi New Zealand', menurut pihak berkuasa pengundian negara itu.
Para pengkritik berkata, bendera yang digunakan ketika ini ketinggalan zaman dan terlalu sama dengan bendera Australia.
Perdana Menteri, John Key yang merupakan penggerak penukaran bendera itu berkata, Silver Fern merupakan simbol bersejarah negara.
"Ia merupakan simbol nasional New Zealand, ini apa yang kita dikenali.
"Alasan mengapa saya menyokong pertukaran bendera ini ialah kerana kami akan lebih memakai, mengguna dan mempromosikannya. Semuanya mengenai kebanggaan negara dan pengiktirafan negara kita dan menunjukkan kepada dunia betapa hebatnya kami memikirkan tentang New Zealand.
"Saya tidak rasa kita akan lakukannya dengan bendera yang digunakan sekarang," katanya semasa ditemubual dalam siaran radio Newstalk ZB.
Bagaimanapun, undian terbaharu yang dijalankan One News Colmar Brunton mendapati dua pertiga (63 peratus) rakyat New Zealand mahukan bendera yang digunakan kini dikekalkan.