[BERITA]TAK SEMPAT PARTI, KENA CEKUP


BANDAR HILIR - Majlis hari lahir seorang remaja lelaki berusia 18 tahun
yang disambut bersama rakan-rakan menjadi kenangan pahit buatnya apabila pusat hiburan di sini diserbu penguat kuasa awal pagi, hari ini.

Serbuan jam 2.15 pagi itu menyebabkan remaja bersama 25 rakannya tidak sempat berseronok, lebih malang apabila 10 rakannya yang di bawah umur diangkut penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kesemua 10 remaja berusia 15 hingga 17 tahun termasuk tiga perempuan ditahan dalam operasi bersepadu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

 Pengarah Penguatkuasa MBMB, Hazudin Hashim berkata, kesemua remaja berusia 15 hingga 20 tahun  itu menyewa salah satu bilik karaoke dari jam 12.30 tengah malam hingga 4 pagi dengan harga RM688.

"Remaja yang kebanyakannya adalah sekampung dari Masjid Tanah, Alor Gajah itu datang ke pusat hiburan ini untuk menyambut hari lahir rakan mereka.

"Kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah selepas wakil ahli keluarga datang menjemput kanak-kanak. Seorang perempuan berusia 17 tahun dihantar ke rumahnya di Durian Tunggal," katanya.

Menurutnya, MBMB turut mengeluarkan lima kompuan terhadap tiga premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dan beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.

"Seramai 14 orang juga ditangkap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana dipercayai positif dadah syabu dan ganja dalam operasi selama hampir 5 jam membabitkan enam lokasi di sekitar pusat bandaraya.

"Anggota Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) turut mengeluarkan surat hadir ke pejabat JAIM terhadap 22 orang yang melakukan kesalahan minum arak dan berpakaian tidak sopan di khalayak.

Hazudin berkata, operasi bersepadu tersebut disertai 45 anggota penguat kuasa daripada lima agensi termasuk Jabatan Kesihatan negeri," katanya selepas operasi itu di sini, hari ini - Sinar Harian